Thursday, October 21, 2010

bgitu dalam kasih mu ibu....

Begitu kelam malam yang suram, hatiku luluh dalam titisan air mata,
Melihat dirimu berjasad kaku, kelopak mataku mula menangis,
Saat terbayang ukiran senyumanmu, dihiasi tirai pelukan cintamu.

Wahai mutiara insan,
Engkau membesar umat dunia, tanpamu manusia binasa sengketa,
Semuanya lapar, dahaga, letih merana.

Dulu...
Saatku mula menangis engkau mengusap kepalaku,
Saatku ingin dilayar mimpi kau biarkan kuterlena disisimu,
Sanggup dirimu berjaga malam menemani diriku ditangisan malam,
Tepukan lembutmu menyambung semula mimpi indahku,
Saatku mula mengerti dunia,
Engkau mengajarku satu persatu, abjad terawal hingga terakhir,
Nombor satu hingga sepuluh, dari ‘alif’ hingga ke ‘ya’,
Dari perkataan ke perkataan, bermula aturan susunan ayat,
Hingga menjadi karangan sempurna, senyuman gembira terukir dibibirmu.



Ketika mana mula menjejak langkah, menhadirkan diri ke alam persekolahan,
Engkau mengejutku agar bersolat, engkau siapkan pakaian untukku,
Sarapan terhidang hasil keringatmu, kulahap semuanya bersama kesyukuran,
Kau iringiku melangkah ke sekolah, memegang tanganku selembut kasih sayang,
Tidak kira panas atau sejuk, terik atau hujan, kau pegang tanganku dari rumah ke meja kelas,
Engkau pergi bersama doa, tinggalkan aku untuk belajar,
Datang semula menjemputku pulang, walaupun letih menyaluti tubuhmu.

Aku temuduga ke alam remaja, sedikit demi sedikit memahami dunia,
Engkau menyokong dari belakang, aku terus maju kehadapan,
Engkau membimbing setia disisiku, aku menyahut setulus ikhlasku,
Tapi kerana sikap berubah, setitik demi setitik hatiku bertompok hitam,Aku mula berubah, engkau bimbang akan diriku, aku langsung tidak mempedulikanmu.
Aku mula terikut rakan, aku mula tinggalkan rumah, aku mula kehilangan adab,
Terjebak dalam kehinaan, dibelenggu hasutan syaitan,
Padahal ketika itu,
Engkau menangis siang dan malam, merapatkan kedua tanganmu,
Lantas mengucap kalimah ampun, dalam doamu kau ampuni aku,
Aku langsung tidak tahu.

Sedang aku bergembira, memikirkan keindahan perhiasan dunia,
Terbaca risalah rintihan seorang ibu, aku menghayati satu persatu,
Makin dibaca makin sayu, makin dihayati makin pilu,
Terasa sesuatu dibenak kalbuku, terbayang daku raut wajahmu,
Wajah suci berkulit bersih, berpakaian telekung serba putih,
Dalam mimpiku engkau hadir, melafazkan ucapan di lorong hatiku.

“Anakku.. ibu merinduimu...ibu amat mengasihimu..Pulanglah kepangkuanku, rasailah sesuap air tangan ibu,
selesalah tidurmu dalam usapanku, bangunlah bersama suara ibu,
Anakku.. ibu sudah tua,
Dari kecil ibu membelaimu,
Ibu rindu ucapan sayangmu, ibu rindu ukiran senyumanmu,
Ibu rindu kelembutan tanganmu, ibu rindu suara manjamu,
Kembalilah.. kembalilah kepada ibu..”


Satu malam ibu dikunjungi jiran,
Menolong menyediakan ketupat raya, dihidangi juga rendang yang kusuka,
Engkau jahitkan baju untukku, mengharap kupulang memakai pakaian baru,
Walaupun bertahun-tahun kau ulangi perkara sama, mengharap aku pulang bersama,
Walaupun bertimbun baju baru, baju yang masih berbau wangi,
Engkau tetap menjahit baju baru, semata-mata menunggu kupulang,
Jiran menyifatkan anakmu ini jahil, engkau membelaku seperti ku disisi,
Jiran memaki anakmu ini, engkau menafikan semua itu,
Semuanya kerana aku anakmu, yang tidak pernah pulang menjenguk ibu,
Tapi kau pertahankan aku, seperti aku sedang memeluk anggotamu.

Aku tersedar dari bayangan, ingati semula kayangan indah,
Sinaran wajahmu terangi malam, harum mewangi kelilingi mahligai,
Bulan purnama kembali suram, menambah luka terulit duka,
Aku ingati kesalahanku, aku sesal perbuatanku, menjauhi ibu mendekati nafsu,
Sudah lama tidak mendengar suara ibu, suara yang mengejutkan aku,
Suara yang memujukku, suara yang pernah bersyair sebelum tidurku,
Sudah lama aku tidak melihat ibu, dari remaja hingga bekerja,
Apakah ibu sihat, atau ibu sebaliknya.

Perasaan hiba menemani aku, dalam perjalanan pulang menuju ibu,
Tidak terasa perlahan atau laju, juga pandu ataupun tidak,
Segalanya kerana ku merindui ibu,
Aku mula mencari halaman di situlah kenangan bersama ibu,
Terpandang kiri dan kanan, aku dikelilingi ingatan lalu,
Sawah itu kuditemani ibu, pohon itu kuditemani ibu,
Sungai itu kuditemani ibu, tiada tempat lain yang tiada ibu,
Ibu benar-benar menyayangi diriku.

Oh, ibu!!!!
Aku sudah sampai ke mahligaimu, mahligai yang pernah kubersemayam di dalamnya,
Mahligai yang meninggalkan seribu kenangan silam, kenangan manja, kenangan pahit,
Kenangan manis, kenangan yang terindah dalam kehidupan,
Tapi mengapa? Mengapa ramai yang mengunjungi ibu? Adakah ada kenduri di sini?
Ataupun ibu ingin menyambut kepulanganku mungkin ibu gembira aku sudah pulang,
Aku dekati muka pintu, tapi aku berasa hairan, mengapa terlalu ramai?
Mengapa ada bulatan manusia? Mengapa ada bacaan Yaasin? Apakah semua ini?
Apa yang sedang berlaku? Dimanakah ibu?

Kakiku melonjak tiga langkah, mataku tertumpu satu jasad, hidungku terbau kasturi mewangi,
Telingaku terdengar ayat-ayat Yaasin,lisanku terdiam wajahku pucat,
Apa benarkah yang aku lihat? Harapku bukan pada saat ini,
Harapku bukan sekarang, mengapa saat kupulang ini yang terjadi?
Satu jasad tidak bernyawa, dibaluti kafan putih, dikelilingi insan tidak dikenali,
Apakah ibu sudah mati? Apakah ibu tinggalkan aku kini?
Apakah ibu tidak berjumpa lagi? Insan mulia penuh budi.

Ibu mengapa kau tinggalkan aku? Apakah engkau sudah tidak sudi melihat diriku?
Apakah engkau sudah tidak sudi mendengar suaraku?
Apakah engkau sudah tidak sudi membelai tanganku?
Apakah engkau sudak tidak sudi mengucapkan sayang padaku?
Ibu, jawablah soalanku.



Ibu..
Kini aku sedar akan kasihmu padaku,
Perit hatimu menunggu kupulang, hampir lapan belas tahun ku tinggalkan dirimu,
Tapi aku tidak berdaya, menahan peritnya hatiku menunggu kepulanganmu,
Padahal baru satu purnama kau meninggalkan aku, membiarkan diriku belayar sendirian.

Ibu..
Aku rindu suapan air tanganmu, aku rindu usapan dikepalaku,
Aku rindu suara lunakmu di awal pagi, aku rindu lirikkan senyumanmu,

Ibu..
Ketika kecil aku sering menyusahkanmu,
Aku minta mainan, kau carikan untukku,
Aku minta pakaian, kau carikan untukku,
Aku minta makanan, kau carikan untukku,
Aku minta kasihan, kau berikan padaku,
Aku mintakasih sayang, kau berikan padaku,
Berjuta perkara aku minta padamu,
Tetapi aku lupa bahawa engkau juga meminta kepadaku,
Bukan sepuluh, bukan seribu,
Tapi Cuma satu.. iaitu kejayaan.


Ibu..
Dulu kau melahirkan aku, kau menyusui aku, kau membelaiku,
Kau mengusap dahiku, kau mendidik aku, segalanya terbayang di langit biru,
Kotak cintaku terbang, terbang kesyurga mencari ibu,
Cintaku menyentuh tanganmu ibu, tangan itulah yang membelai diriku,
Cintaku menyentuh lembut bibirmu, bibir itulah yang mencium pipiku,
Cintaku menyentuh kelopak matamu, mata itulah yang menusuk kalbuku,
Cintaku menyentuh sekeping hatimu, hati itulah penawar kehidupanku.

 Ibu..
Inilah warkah terakhir buatmu,
Inilah risalah terakhir buatmu,
Inilah surat cinta terakhir untukmu,
Akan kusemadikan warkah ini dalam diari silamku.

Ibu.. maafkan aku..


p/s:hargailah ibu kita,,,,sayangilah mereka sebagaimana mereka menyayangi kita sewaktu kecil lg....<3<3<3

No comments: